KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi tuan rumah penganjuran Akademi Usahawan Wanita (AWE) Asia Timur dan Sidang Kemuncak Pasifik yang berlangsung di Kuala Lumpur selama empat hari bermula Isnin.

Sidang kemuncak tersebut memberi fokus kepada usaha membantu meningkatkan kewangan, membina rangkaian serta mengembangkan perniagaan sama ada dalam talian atau fizikal.

Program anjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dengan kerjasama Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (WENA) itu menghimpunkan lebih 200 wanita dari 11 negara di rantau itu, bagi meraikan pencapaian dan berkongsi pengalaman dalam bidang keusahawanan.

Presiden WENA Nuraizah Shamsul Baharin berkata, sebanyak 70  usahawan kecil tempatan dari pelbagai perniagaan termasuk produk makanan  dipilih menyertai AWE pada tahun ini.

"Program ini melengkapkan wanita dengan bahan yang diperlukan untuk menubuh dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri, meningkatkan modal dan rangkaian secara berkesan dengan pemilik perniagaan lain yang berjaya.

"Saya percaya kejayaan usahawan wanita ini mampu menjadi dorongan kepada wanita lain yang turut berhasrat berjaya dalam kehidupan mereka dalam bidang perniagaan," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Majlis yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri itu turut dihadiri Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters.

Nuraizah menambah, setakat ini, lebih 25,000 usahawan wanita mendapat manfaat sejak AWE dilancarkan pada 2019. 

Menurutnya, 74 peratus usawahan wanita yang menyertai program itu mengakui perolehan pendapatan mereka meningkat selepas menyertai program tersebut.

"Sementara itu, kira-kira 44 peratus lagi peserta memaklumkan perniagaan mereka berkembang," katanya.